Tumpuan :
Mahkamah

3 lelaki edar ganja lebih 11kg berdepan hukuman mati

Mohd Faidz (tengah), Ridhwan Zulhilmi (kanan) dan Shwe Aung dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar kerana mengedar ganja. – Foto NSTP

MUAR: Tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret Muar, di sini, hari ini, atas tuduhan mengedar lebih 11 kilogram (kg) ganja di Kampung Temiang Bukit Treh, di sini, minggu lalu.

Tertuduh Mohd Faidz Husaini, 40, yang juga mekanik dan Ridhwan Zulhilmi Hasan, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Namun, sebutan kes untuk Shwe Aung, 32, ditetapkan pada 2 Januari depan untuk kehadiran jurubahasa Myanmar kerana tertuduh tidak memahami bahasa Melayu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Faidz dan Ridhwan Zulhilmi kerana kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mengedar ganja dengan anggaran berat kasar 11,497 gram (g) di Kampung Temiang Bukit Treh, di sini, pada jam 10.30 malam, 16 November lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika tidak dihukum mati serta sebatan tidak lebih 15 kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqillah Ahmad Rofaie, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 2 Januari depan untuk sebutan semula.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini