comscore
Tumpuan :
Mahkamah

3 lelaki direman minta rasuah RM13,000 bagi urus cukai import

Tiga lelaki termasuk seorang pemilik syarikat ejen penghantaran (forwarding agent) direman hingga 12 Oktober ini bagi membantu siasatan kes suapan berjumlah RM13,000.

KANGAR: Tiga lelaki termasuk seorang pemilik syarikat ejen penghantaran direman hingga 12 Oktober bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis kerana meminta suapan RM13,000 daripada seorang pemilik syarikat kecantikan pada bulan lalu.

Perintah reman selama empat hari itu dikeluarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim, selepas suspek berusia antara 32 hingga 51 tahun itu dibawa ke Mahkamah Kangar jam 8.45 pagi hari ini.

Sumber berkata, pemilik syarikat berusia 50 tahun bersama dua lagi suspek berusia 51 tahun dan 32 tahun bertugas di syarikat berkenaan yang berpangkalan di Pelabuhan Pulau Pinang di Butterworth.

“Suspek kedua berusia 51 tahun bertindak sebagai pengurus operasi, manakala seorang lagi yang berusia 32 tahun itu pula bertugas sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan di syarikat berkenaan dan kita menerima aduan daripada mangsa iaitu pemilik syarikat kecantikan berkenaan berhubung tindakan ketiga-tiga suspek ini.

“Syarikat kecantikan ini mempunyai pejabat di Perlis serta mangsa membuat pesanan barangan kosmetik yang dipesan dari Korea Selatan dan berdasarkan siasatan awal kita, suspek syarikat penghantaran itu dipercayai menguruskan cukai import.

“Pada 10 September lalu, suspek utama dipercayai pada mulanya meminta wang rasuah sebanyak RM15,000 namun dikurangkan sebanyak RM13,000 yang bertujuan menguruskan pengurangan cukai import, yang mana wang suapan itu akan diberikan kepada anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang yang bertugas di pelabuhan itu,” katanya.

Katanya, beberapa hari selepas itu, satu transaksi perbankan berjumlah RM13,000 dilakukan oleh mangsa kepada suspek seperti yang diminta.

“Wang berkenaan kemudian dibahagikan antara ketiga-tiga suspek dan suspek ketiga mendakwa kepada mangsa bahawa ada bahagian wang itu akan diberikan kepada anggota kastam yang dimaksudkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini