comscore
Tumpuan :
Mahkamah

3 lelaki didenda RM39,000 jual ‘android box’ tiada perakuan

Oleh: Baharudin Mohamed

MELAKA: Tiga lelaki didenda RM39,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini selepas didapati bersalah menjual kotak android atau android box tidak diperakui di sebuah pasar raya, dua tahun lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lee Hock Chuan, 21, Ong Tuck Keong,30, dan How Jun Tian, 20, yang mengaku salah masing-masing atas dua tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Hock Chuan dan Jun Tian masing-masing didapati bersalah menjual tiga unit serta satu unit ‘Top Box (android box)’ bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut dalam subseksyen 36A(3) Akta Hak Cipta 1987.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM40,000 bagi setiap perekaan yang berkenaan dengannya atau dipenjarakan maksimum 10 tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 41(1)(ha) akta sama.

Dalam pada itu, Hock Chuan dan Jun Tian juga didapati masing-masing telah menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu 20 dan lapan unit kotak android.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut 16(1) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 30 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tuck Keong pula didakwa bersubahat dengan Hock Chuan dan Tuck Keong bagi kesalahan di bawah Seksyen 41(1)(ha) Akta Hak Cipta 1987 dan Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 1.10 petang di sebuah pasar raya di Peringgit pada 25 Oktober 2021.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda keseluruhan sebanyak RM13,500 terhadap Hock Chuan, manakala Jun Tian RM5,500 dan Tuck Keong RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin, manakala tertuduh diwakili peguam Vincent Tey dan Milavieri Virginia Chong Yee Nee.

Loading...
Terkini