comscore
Tumpuan :
Mahkamah

3 lelaki didakwa bunuh kenalan kerana hutang RM7,000

Oleh: Fahmi Tajuddin

KAJANG: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga rakan mereka yang ditemui dalam keadaan terbakar di kawasan semak berhampiran Empangan Semenyih, Selangor, bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Zulkarnain Md Ariffin, 44, Muhammad Iqbal Zainal, 30, Syed Fikri Barakhbah Syed Mohd Bakri, 28 selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Menurut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama membunuh mangsa, Mohamed Afiq Hamdan, 28 antara pukul 3 pagi hingga 5 pagi di sebuah rumah di Hulu Langat pada 22 Jun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Majistret Nurul Hafzan menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan tiga lelaki ditahan pada 11 Julai lepas kerana disyaki membunuh rakan mereka setelah mangsa gagal melunaskan hutang berjumlah RM7,000, manakala mangsa ditemui di Empangan Semenyih dalam keadaan terbakar pada 23 Jun lepas.

Turut dilaporkan juga ditahan pada 11 Julai lepas ialah seorang lagi lelaki yang akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pada jam 10.07 pagi 23 Jun lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan berkaitan mayat dijumpai dalam keadaan terbakar di lokasi itu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat awam dan siasatan polis, pada 11 Julai lalu, polis menahan empat lelaki berusia 18 tahun yang juga rakan mangsa berusia 28 tahun itu di Batu 14 Hulu Langat di sini, bagi membantu siasatan.

Hasil pemeriksaan menddapati semua yang ditangkap positif dadah jenis methamphetamine dalam ujian awal saringan air kencing, manakala dua daripada mereka mempunyai lebih 20 rekod jenayah lampau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini