Tumpuan :
Mahkamah

29 individu dikaitkan GISBH ditahan reman di Mahkamah Shah Alam

SHAH ALAM: Seramai 29 individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH) ditahan reman di antara sehari hingga tujuh hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Shah Alam, bagi membantu siasatan.

Permohonan reman ke atas kesemua individu berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun itu dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar, Md Subri Hashim dan mereka ditahan di lokap berpusat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam, IPD Subang Jaya dan IPD Petaling Jaya.

Kesemua individu, yang terdiri daripada 13 lelaki dan 16 wanita, tiba di Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, 11.30 pagi tadi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Terdahulu, Polis Kontinjen Selangor menyerbu beberapa rangkaian perniagaan yang sebahagian besarnya dipercayai berkaitan GISBH dalam operasi bersepadu di Bandar Country Homes, Rawang, semalam.

Serbuan bermula 6.30 pagi itu membabitkan kira-kira 200 anggota Polis Kontinjen Selangor dengan bantuan Pasukan Simpanan Persekutuan, serta dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan semalam mengesahkan 200 individu ditahan dalam Operasi Global (Op Global) yang dijalankan terhadap kumpulan GISBH, sejak 11 September lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 23 orang sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka 37 kertas siasatan termasuk tiga penambahan kes di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu katanya, Op Global memasuki fasa keempat di seluruh Semenanjung Malaysia dengan serbuan dilakukan di 82 premis, 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan, manakala 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita ditahan.

Razarudin berkata dalam operasi yang disertai JAKIM itu, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat turut dirampas.

Pada 11 September lalu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH, menyelamatkan 402 kanak-kanak serta remaja masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini