comscore
Tumpuan :
Mahkamah

270 PATI didakwa atas pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen

Oleh: Zahir Senapiah

PONTIAN: Kira-kira 270 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 75 wanita dari beberapa negara, berumur 18 hingga 58 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian dekat sini, atas pelbagai kesalahan di bawah akta Imigresen.

Kesemua tertuduh terdiri daripada 82 warga Myanmar, Bangladesh (66) Indonesia (50) Thailand (33) Pakistan (15) Nepal (9) empat dari China, India, Vietnam, Filipina (2) dan satu Mesir.

Semua tuduhan terhadap PATI terbabit kerana tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen yang sah dibacakan di hadapan hakim, Fatimah Zahari.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 kurungan tiga, akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 5 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta enam sebatan.

Manakala 108 yang lain didakwa berada di negara ini dengan memiliki pasport yang sudah tamat tempoh.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 15 (1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 kurungan 4, akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Baki 36 PATI lagi, didakwa di bawah Peraturan 39 (Peraturan-peraturan Imigresen 1963) kerana kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Kesemua kesalahan itu dikesan dan dilakukan di sebuah tapak pembinaan, rumah kedai dan kilang, sekitar Pasir Gudang, Taman Ungku Tun Aminah dan Gelang Patah antara 26 April hingga 30 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JIM, Nur Lina Athirah Abdul Rahim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini