comscore
Tumpuan :
Mahkamah

20 tahun guna kad pengenalan palsu, penjual cendol dipenjara 11 bulan

Jahabudin Ahamed dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh dituduh memiliki kad pengenalan orang lain. – FOTO: NSTP

MELAKA: Seorang penjual cendol warganegara India dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan memiliki dan menggunakan kad pengenalan orang lain sejak lebih 20 tahun lalu.

Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu bermula hari ini terhadap Jahabudin Ahamed Hajmalgan, 42, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.

Mengikut pertuduhan Jahabudin didapati memiliki kad pengenalan MyKad palsu atas nama seorang individu lelaki berusia 43 tahun dan beralamat di Jalan Tamby Chik Karim, Batu Berendam.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, pada 31 Mac lalu, jam 12.15 tengah hari.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), jika disabitkan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, bapa kepada dua anak itu ditangkap ketika hadir di JPN untuk menukar kad pengenalan baharu sebelum dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN kerana memiliki MyKad orang lain.

Semakan rekod menunjukkan no kad pengenalan MyKad itu milik seorang lelaki lain dan perbandingan kedua-dua cap ibu jari tertuduh juga tidak sepadan malah perbandingan gambar imej dari Sistem AFIS (Sistem Pengenalan Cap Jari Automatik) juga tiada rekod.

Menurutnya, maklumat kad pengenalan itu digunakan teruduh untuk penukaran agama daripada Hindu kepada Islam di Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pada 2000.

Terdahulu, tertuduh yang berasal dari Theriruveli, Chennai, India dan kini menetap di Klang, Selangor merayu hukuman ringan kerana sudah insaf selain memberitahu dia berpuasa dan ingin menyambut Aidilfitri.

Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal bagaimanapun berhujah supaya hukuman berat dikenakan kerana tertuduh memiliki cabutan sijil kelahiran dan kad pengenalan palsu lebih 20 tahun.

Loading...
Terkini