Tumpuan :
Mahkamah

2 warga Myanmar dipenjara, simpan lebih 1,000 kg gas LPG

Sein Kyi Moe (kanan) dan Tun Tun Kyaing didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menyimpan barang kawalan berjadual 1,122.24 kg LPG tanpa lesen, tahun lalu. – Foto: Ihsan KPDN

SEREMBAN: Dua warga Myanmar dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana menyimpan barang kawalan berjadual 1,122.24 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen, tahun lalu.

Hakim Muhamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Sein Kyi Moe, 30, dan Tun Tun Kyaing, 24, yang juga penjaga stor mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama dua orang yang masih bebas didakwa menyimpan dalam jagaan barang kawalan berjadual iaitu LPG berjumlah 1,122.24 kg dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.

Perbuatan dilakukan pada 11.45 malam, 4 September 2024 di premis dekat Jalan S2 C4, Green Technology Park, Seremban 2, di sini.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama, yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Nor Alimah Mohd Sanusi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini