Tumpuan :
Mahkamah

2 wanita warga asing didenda, tawar khidmat seks kepada polis

Sebahagian daripada 24 orang OKT kes pelacuran dibawa oleh anggota PDRM untuk pertuduhan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Dua pekerja seks dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Majistret berasingan, di sini, hari ini kerana menawarkan perkhidmatan seks kepada dua anggota polis, bulan lalu.

Tertuduh, Chiangmai Wilaiwan, 36, dari Thailand didenda RM1,800 dan warga Indonesia, Junita Ketaren, 33, didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim dan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menawarkan perkhidmatan seks bagi maksud persundalan kepada dua anggota polis di bilik hotel berasingan di Jalan Pudu, Dang Wangi, dekat sini, pada 6.30 petang, 22 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan Chiangmai dipenjara dua bulan, manakala Junita dipenjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal dan Syafika Azwa Fikri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini