comscore
Tumpuan :
Mahkamah

2 wanita mengaku tidak bersalah tipu urusan jual emas, iPhone

Foto: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Dua wanita termasuk seorang yang sedang hamil didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas tiga tuduhan menipu dalam penjualan emas dan telefon pintar iPhone 15 Pro Max sehingga mangsa kerugian ribuan ringgit.

K Brenda Priya, 24, dan Aneta Yvette Peter Edward, 25, didakwa secara bersama atas tiga pertuduhan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana jenayah dilakukan antara Februari hingga awal bulan lalu itu.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, denda dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga ketiga, mereka berdua secara bersama dituduh menipu tiga individu membabitkan penjualan emas dianggarkan 116 gram (g) termasuk satu unit iPhone 15 Pro Max yang keseluruhannya berjumlah RM8,840.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 5 Februari hingga 9 Julai lalu  di beberapa lokasi berasingan dalam daerah Seberang Perai Tengah.

Kedua-dua wanita berkenaan mengaku tidak bersalah dan dalam rayuan memohon ikat jamin rendah melalui peguam, memberi alasan mereka tiada pendapatan tetap, selain Aneta Yvette mempunyai suami kurang upaya dan sedang hamil lapan minggu.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM9,000 dan menetapkan 19 Ogos depan untuk serahan dokumen.

Brenda Priya turut mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan, juga berkaitan penjualan emas dan iPhone 15 Pro Max sehingga mangsa kerugian RM7,190.

Kesalahan didakwa dilakukan dalam daerah sama antara 28 Februari hingga 19 Jun lalu.

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM6,000 dan menetapkan tarikh sama seperti pertuduhan pertama hingga ketiga untuk serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini