IPOH: Dua saksi baharu dari Jakarta, Indonesia akan dipanggil bagi memberi keterangan kepada Mahkamah Tinggi di sini berhubung keterangan yang dikemukakan bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN ) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang sebelum ini berdepan pertuduhan merogol pembantu rumahnya.
Mahkamah Tinggi itu, hari ini turut menetapkan empat hari tarikh untuk mendengar dan menilai keterangan dua saksi baharu itu yang terdiri dari peguam yang menemuramah mangsa rogol itu, serta seorang notari awam dengan mereka dijadual memberi keterangan pada 13, 14, 21, dan 22 Januari depan.
Peguam Choo Kiong, Salim Bashir ditemui pemberita di luar bilik mahkamah selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh, Nur Laila Mohamed Nazil hari ini, berkata kedua-dua mereka akan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, di sini.
Menurutnya, pada prosiding itu nanti, pihak pembelaan akan bertanyakan berkaitan dokumen yang dihantar kepada anak guamnya manakala pihak pendakwaan pula akan menyoal balas untuk mengesahkan bukti baharu berkenaan.
“Setakat ini, dua saksi terbabit akan hadir manakala mangsa pula, kita cuba sehabis baik untuk membawanya ke sini atau jika tidak, kita akan maklumkan kepada mahkamah,” katanya.
Selain Salim, Choo Kiong turut diwakili peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Low Wei Loke.
Prosiding pengurusan kes dalam kamar itu hari ini turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos; Yasinnisa Begam Seeni Mohideen dan Liyana Zawani Mohd Radzi.
Sementara itu, Hisyam Teh berkata, penetapan tarikh empat hari pada Januari depan oleh Mahkamah Tinggi hari ini adalah untuk pendengaran semula kes itu bagi menilai bukti-bukti baharu yang dibenarkan masuk.
“Bukti tambahan itu terdiri dari lima dokumen yang sangat penting, di mana Mahkamah Persekutuan sudah mengarahkan kami untuk mengemukakan bukti ini di Mahkamah Tinggi.
“Mahkamah Tinggi akan menilai bukti dan mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum menyediakan pandangan berhubung kes ini. Laporan itu akan dihantar ke Mahkamah Persekutuan untuk digunakan ketika rayuan utama,” katanya.
Pada 12 November lalu, media melaporkan Mahkamah Persekutuan pada hari sama membenarkan permohonan bekas Paul Yong iaitu bekas ADUN Tronoh yang disabitkan merogol pembantu rumahnya untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan terhadap sabitan itu.
Panel tiga hakim diketuai Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan lima dokumen diterima sebagai bukti tambahan dengan menyifatkannya penting kerana ia kelihatan menunjukkan mangsa mungkin memberikan keterangan tidak benar semasa perbicaraan terhadap
Mahkamah Persekutuan mengarahkan kes dihantar semula ke Mahkamah Tinggi dan menetapkan hari ini iaitu 26 November untuk pengurusan kes, termasuk mengarahkan Mahkamah Tinggi Ipoh untuk menerima semua bukti, termasuk lima dokumen serta bukti tambahan yang berkaitan dengan dokumen itu, termasuk keterangan daripada mana-mana saksi.
Mahkamah Tinggi turut diarahkan supaya mengesahkan bukti tambahan itu dan menyediakan kenyataan mengenai pandangan terhadap kes terbabit dengan mempertimbangkan bukti baharu yang dikemukakan.
Mahkamah Persekutuan menangguhkan pendengaran rayuan Choo Kiong yang dijadual semalam sementara menunggu pengesahan keterangan tambahan daripada Mahkamah Tinggi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.