Tumpuan :
Mahkamah

2 sahabat mengaku bersalah dalangi rompakan bersenjata

Dua sahabat, Mohamad Alif Ahmad, 30 dan Mohd Hasimi Mohamud, 43, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di Bachok. selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulkifli Abllah. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Dua sahabat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di Bachok, pada 30 Januari lalu.

Tertuduh, Mohamad Alif Ahmad, 30 dan Mohd Hasimi Mohamud, 43, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Hakim bagaimanapun menetapkan 9 April sebagai tarikh fakta kes dan hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh melakukan rompakan sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa berusia 49 tahun jam 12.30 tengah malam di Kampung Padang Lati, Bachok pada 30 Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah parang dan pisau terhadap lelaki warga Pakistan di sebuah kedai runcitjam 1.30 pagi di Bukit Marak, Padang Lati, Bachok pada 30 Januari.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini