Tumpuan :
Mahkamah

2 rakan dituduh lakukan rompakan berkumpulan guna parang

Sreedharan Naidu dan J Moohilan Naidu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth, hari ini. – FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata parang pada minggu lalu.

Tertuduh, K Sreedharan Naidu, 33, dan J Moohilan Naidu, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta seorang lelaki berumur 57 tahun, dengan merompak kereta jenis Honda Accord serta wang tunai berjumlah RM54,000, dengan mengacukan parang di persimpangan Taman Bukit Kecil, dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari 6 Disember lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 396 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal, tidak menawarkan sebarang ikat jamin memandangkan kesalahan itu merupakan kesalahan tidak boleh dijamin.

Namun, peguam mewakili kedua-dua tertuduh, S Morgan, memohon ikat jamin diberikan atas alasan kedua-dua anak guamnya yang masing-masing bekerja sebagai pemandu lori dan kelindan lori, sudah berkahwin serta mempunyai anak kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Hakim turut menetapkan tarikh 15 Januari depan untuk serahan dokumen. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini