comscore
Tumpuan :
Mahkamah

2 pertuduhan salah guna wang infak dihadapi Alif Teega dipindah ke Mahkamah Shah Alam

Alif Teega dan isterinya hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya dua pertuduhan menyalahgunakan wang infak lebih RM63,000 yang dihadapi pempengaruh, Alif Teega dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin membuat permohonan itu mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Mohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama,” katanya ketika sebutan kes itu hari ini.

Pada prosiding hari ini, peguam Mohd Shahrullah Khan mewakili Alif tidak membantah permohonan itu.

“Kami mohon tarikh awal sebutan di Mahkamah Shah Alam kerana pihak pembelaan ada membuat permohonan pemulangan pasport sementara,” katanya.

Mendengar perkara itu, Azura membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, wang jaminan dilanjutkan dan sebutan semula kes pada Rabu ini di mahkamah itu.

Pada 20 September lalu, Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan Infaq Iftar di Makkah, Syria, dan Palestin, di sebuah bank di Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari, di sini, pada 26 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, pempengaruh itu didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi tujuan JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN di bank yang sama pada 15 Jun lalu.

Susulan itu, Alif didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun dan dengan sebat serta denda.

Sementara itu, pada 23 September lalu, Alif dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang infak lebih RM1.52 juta, tiga tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10, pasangan kontroversi itu didakwa mencapai niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM1,526,372.16 juta antaranya untuk projek infak kurma, infak al-Quran di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Al-Nabawi, Madinah; infak pek makanan bagi fakir miskin di Makkah dan Madinah; infak bantuan dan sedekah set pakaian untuk mangsa banjir, sedekah set pakaian raya untuk anak yatim serta sedekah ibadah korban di Makkah.

Jumlah paling besar didakwa disalah guna adalah RM425,890.64 iaitu bagi tujuan infak bantuan mangsa banjir, manakala paling rendah pula adalah RM438.38 iaitu bantuan set pakaian Muslimah untuk bantuan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mei 2021 hingga Julai lalu di dua cawangan bank berbeza di Seksyen 8 dan 9, Bandar Baru Bangi mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Pada 11 Julai lalu, Alif dan Aisyah direman tujuh hari, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah bermula 2022.

Ia susulan tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma, dengan peratusan tinggi.

Selain itu, pasangan itu juga dikatakan hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber, namun pasangan itu menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini