comscore
Tumpuan :
Mahkamah

2 pengarah syarikat, rakan mengaku tidak bersalah perdaya kontraktor serah RM5.5 juta

KUALA LUMPUR: Dua beradik yang juga pengarah syarikat hartanah, Aston Villa Sdn Bhd, bersama seorang yang lain mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu seorang kontraktor dalam urusan mendapatkan projek pembinaan pangsapuri di Kampung Sungai Penchala di sini, pada 2018.

Pengakuan itu dibuat ketiga-tiga tertuduh selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hamidah Mohamed Deril.

Kumara Indran, 53 dan adiknya, Sumathi Indran, 49, didakwa bersama rakan mereka, Remyrizal @ Wellen Remy Rizal, 43, menipu seorang kontraktor dengan memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM5.5 juta.

Wang terbabit sebagai pendahuluan untuk mempercayai ketiga-tiga tertuduh akan menguruskan segala urusan bagi mendapatkan Projek Pembinaan Pangsapuri di Kampung Sungai Penchala bagi syarikat MZMA Construction Sdn Bhd.

Semua tertuduh turut mencagarkan hartanah di mukim Kuala Lumpur milik Aston Villa Sdn Bhd sekiranya projek itu tidak berjaya, sedangkan mereka mengetahui lot tanah terbabit sudah pun dicagarkan kepada MBSB Bank pada 2013.

Menurut kertas pertuduhan, susulan pembayaran itu, semua tertuduh secara bersama dengan curangnya menyalahgunakan wang milik MZMA Construction Sdn Bhd berjumlah RM987,084.17 yang dipindahkan ke beberapa akaun bank atas nama Sumathi, Aston Villa Sdn Bhd dan Remyrizal bagi kepentingan peribadi.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Jaafar, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Faris Abrar Othman, Dhiyaulhaq Mohd Arifin dan M Manoharan.

Hamidah membenarkan jaminan RM20,000 untuk setiap tertuduh dan menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini