Tumpuan :
Mahkamah

2 pemuda dipenjara, dua kali sebatan lakukan amang seksual fizikal

Foto hiasan

TAWAU: Dua pemuda masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga tahun serta dua kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana melakukan amang seksual fizikal, dalam dua kejadian berasingan, April lalu.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya membuat keputusan itu, selepas menerima pengakuan bersalah Azi Madsal, 21, dan Mohamad Samsul Abdullah, 19, sebelum mensabitkan mereka atas pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017.

Ahmad Faizadh berkata, dalam menjatuhkan hukuman mahkamah mengambil kira pertuduhan, fakta kes, jenis kesalahan yang dilakukan serta faktor kepentingan awam selain rayuan dan hujahan kedua-dua pihak.

Mengikut pertuduhan, Azi Madsal didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan maksud seksual terhadap seorang remaja perempuan yang ketika kejadian berusia 14 tahun di belakang sebuah restoran, di Semporna, antara jam 1 pagi hingga 2 pagi, pada 12 April tahun lalu.

Manakala Mohamad Samsul pula didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang remaja perempuan yang juga kenalan sekampungnya berumur 14 tahun di sebuah rumah penginapan dekat Bandar Fajar Tawau, jam 10.30 malam, 21 April tahun lalu.

Atas kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Ahmad Faizadh, memerintahkan Azi Madsal dipenjara selama tempoh enam tahun dari tarikh tangkapan 12 April 2024 dan dua kali sebatan rotan.

Sementara Mohamad Samsul pula diperintah menjalani hukuman penjara selama tempoh tiga tahun dan dua kali sebatan rotan berkuatkuasa dari tarikh sabitan hari ini.

Mahkamah turut menetapkan kedua-dua pemuda itu mengikuti kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan selain berada dalam pengawasan polis selama tiga tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara sebagaimana peruntukan mengikut Seksyen 26 dan Seksyen 27, AKSTKK 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khusri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini