Oleh : Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: ‘Tiga tahun yang sukar buat keluarga, nama baik saya tercemar’ itu luahan Penolong Pengarah Imigresen Johor Noryati Abu Bakar, 53, dengan linangan air mata kesyukuran, sejurus dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Johor Bahru daripada pertuduhan penyeludupan migran.
Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat membuat keputusan itu terhadap Noryati dan pegawai kanan Imigresen, Haris Fadzilah Abu Bakar, 51, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Dalam penghakimannya, Noor Hayati berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai kemasukan migran yang disenaraikan adalah tidak sah.
Beliau turut berpendapat prosedur pengeluaran migran itu adalah mengikut tatacara dibenarkan oleh Jabatan Imigresen dan sekiranya ada elemen kesalahan lain yang cuba diterap oleh pihak pendakwaan seperti salah laku atau perbuatan rasuah, ia bukan dalam lingkungan tuduhan kesalahan yang dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Kodesviary.
Noryati diwakili peguam Latheefa Koya dan Zaid Malek manakala Haris Fadzilah diwakili peguam, Zamri Idrus, Muhammad Abd Kadir, Md Ridzuan Othman dan Khairulnadiah Hasni Yusoff.
Sementara itu, Noryati bersyukur kerana keputusan hari ini membuktikan beliau dan Haris tidak bersalah.
“Saya harap ini adalah satu keputusan yang boleh diterima semua orang, saya amat bersyukur,” katanya.
Perasaan sama dikongsi, Haris Fadzilah yang menyifatkan ia keputusan amat dinanti.
”Sejujurnya saya tidak tahu mengapa dikaitkan, bagaimanapun tiga tahun ini adalah tempoh yang sukar setakat ini, nama baik saya juga telah tercemar,” kata Haris Fadzilah.
Mengikut pertuduhan, Noryati dan Haris Fadzilah bersama tiga yang lain didakwa bersama-sama menjalankan penyeludupan lapan migran di Pelabuhan Pasir Gudang, kira-kira jam 12 tengah hari, pada 15 Jun 2020.
Tuduhan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tahun lalu dan awal tahun ini, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara dua hingga empat tahun terhadap tiga tertuduh iaitu buruh binaan M. Amir Nasir, 64, ejen tiket feri, Tengku Jajang Sagita Tengku Redzuan, 57, dan pengawal keselamatan, Razali Mohamad, 58, selepas mengaku bersalah atas tuduhan sama.