KUALA LUMPUR: Dua pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner dan Deputi Superintendan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM1.25 juta untuk menutup kes jenayah ahli perniagaan berkaitan pembelian senjata api oleh warga Israel.
Bagaimanapun, Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Chin Khiam Kong, 54, dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency JSJK Bukit Aman, Deputi Superintendan Suhairon Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, tiga pegawai berpangkat Asisten Komisioner, Deputi Superintendan dan Inspektor dari JSJK Bukit Aman, ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini, bagi membantu siasatan kes pemerasan RM1.25 juta.
Selain itu, dua lagi turut ditahan ialah masing-masing seorang Inspektor dan Sarjan. Berikutan penahanan lima individu terbabit, polis kemudian memberkas seorang Lans Koperal yang berkhidmat di jabatan sama.
Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan polis kerana disyaki melakukan pemerasan terhadap individu yang disiasat oleh mereka berhubung kes mata wang kripto.
Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Berita lanjut menyusul.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.