comscore
Tumpuan :
Mahkamah

2 pegawai Imigresen direman 3 hari bantu siasatan kes ‘counter setting’ di Pulau Pinang

Dua pegawai Jabatan Imigresen direman tiga hari bagi membantu siasatan kes ‘counter setting’ di Pulau Pinang. FOTO: NSTP

GEORGE TOWN: Dua pegawai Jabatan Imigresen direman tiga hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Majistret Muhamad Qayyum Noordin mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki dan wanita berusia lingkungan 40-an terbabit sehingga Isnin ini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pulau Pinang.

Terdahulu, kedua-duanya tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang kira-kira jam 10 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Sumber berkata, dua pegawai terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 12.30 tengah hari hingga jam 1.30 tengah hari semalam.

Katanya, mereka ditahan susulan tangkapan seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah hotel di negeri ini kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

“Mereka dipercayai bersekongkol dengan lelaki warga Bangladesh berkenaan yang menjadi ejen bagi mengatur laluan masuk seorang warga Indonesia tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

“Siasatan awal mendapati, lelaki Bangladesh dan pegawai Imigresen lelaki itu didakwa meminta wang kira-kira RM4,500 daripada seorang lelaki warga Indonesia yang tiba melalui LTAPP pada 22 September lalu sebagai balasan membantunya masuk ke negara ini,” katanya.

Difahamkan, lelaki warga Indonesia terbabit memohon masa menyediakan wang berkenaan sebelum diarah ke kaunter khas yang dijaga seorang pegawai wanita bagi urusan masuk ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan sewajarnya.

Semalam, Majistret Syahirah Abdul Salim membenarkan lelaki warga Bangladesh terbabit direman tujuh hari sehingga 24 Oktober ini selepas permohonan dibuat SPRM.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa terbabit disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 manakala lelaki warga Bangladesh itu disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta yang sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini