![](https://media.buletintv3.my/2023/02/CMS-ZAMIR-2023-02-10T165004.329.jpg)
BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini, atas dua dakwaan pecah rumah dan melupuskan harta curi, bulan lalu.
Tertuduh M.Panjanathan,36 dan R.Sharvin, 22 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa memecah masuk sebuah premis dengan mencuri seutas jam tangan jenama Rolex setiap seutas gelang emas dan lima loket emas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Machang Bubok dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 1.15 tengahari pada 18 Januari lalu.
Bagi kesalahan ini, mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Sementara itu, di kamar sama kedua-dua tertuduh turut didakwa menghapuskan harta curi iaitu sebuah permainan video Sony Playstation 3 milik seorang individu di sebuah premis di Kompleks Megamall Pinang, di sini pada 21 Januari lalu.
Kedua-dua mereka didakwa mengikutSeksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shakila Dahari.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 terhadap kedua-dua tertuduh bagi pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan kedua, wang jaminan masing-masing ditetapkan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula pada 10 Mac depan.