comscore
Tumpuan :
Mahkamah

2 lelaki didakwa lupus pistol bagi lindungi suspek kes culik

Tertuduh, Tan Kuan Wei, 43, (kiri) dan Siow Boon Pin, 38, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas tuduhan melupuskan pistol, peluru dan gari bagi melindungi suspek kes culik, bulan lalu.- FOTO: NSTP

KOTA TINGGI: Seorang jurukimpal dan pengutip barang lusuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan melupuskan pistol, peluru dan gari bagi melindungi suspek kes culik, bulan lalu.

Tertuduh, Tan Kuan Wei, 43 dan Siow Boon Pin, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama melupuskan senjata api iaitu sepucuk pistol jenis Piettro Beretta Gardone V T buatan Itali, 250 butir peluru hidup dan sepasang gari berserta dua anak kunci.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat melindungi Chong Shih Ming, 46, yang disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, daripada hukuman undang-undang.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Farm Vacay, Jalan Johor River di sini, kira-kira jam 4.15 petang, 26 Oktober lalu itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Tan memohon diberikan ikat jamin dengan jumlah yang rendah kerana hanya berpendapatan RM2,000 sebulan, manakala Siow turut memohon wang jaminan yang rendah walaupun mengakui tidak mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan setiap seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 November ini.

Sementara itu, Chong yang didakwa menculik bagi tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini sepatutnya turut didakwa bagi tuduhan di bawah Akta Senjata Api 1960.

Bagaimanapun, lelaki yang juga ahli perniagaan itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas pihak pendakwaan membuat permohonan semakan jaminan yang dibenarkan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim sebanyak RM50,000 terhadapnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini