comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] 2 individu termasuk pengarah syarikat direman disyaki beri, terima rasuah RM2,000

AYER KEROH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka telah menahan reman seorang pengarah syarikat dan seorang jurutera disyaki memberi dan menerima rasuah kira-kira RM2,000 sebagai dorongan mendapatkan projek berkaitan sewaan genset bernilai kira-kira RM90,000.

Perintah reman selama lima hari sehingga 27 Oktober ini telah dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap kedua-dua suspek selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia lingkungan 40-an hingga 60-an telah ditahan antara jam 1.30 hingga 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar bulan November 2023.

“Salah seorang suspek iaitu pengarah syarikat dipercayai telah memberi wang rasuah kepada jurutera terbabit kira-kira RM2,000 melalui pindahan ke akaun bank milik isterinya sebagai dorongan mendapatkan projek berkaitan sewaan genset bernilai kira-kira RM90,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini