IPOH: Dua guru tadika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas dakwaan mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki, V Thanes Nair, berusia empat tahun sehingga menyebabkan mangsa mati lemas pada April 2023.
S P Esther Christina, 60, dan M Manisah, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu ketika dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Pertuduhan melibatkan kesalahan meninggalkan mangsa tanpa pengawasan sewajarnya di sebuah tadika di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor, pada 17 April 2023, kira-kira jam 10.07 pagi.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum denda RM20,000, penjara lima tahun, atau kedua-duanya, serta khidmat masyarakat antara 36 hingga 240 jam.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin, mencadangkan jaminan RM15,000 setiap tertuduh. Bagaimanapun, peguam tertuduh, Gary Xavier dan Jason Anthony, memohon jaminan dikurangkan kepada RM2,500 atas alasan kesihatan Esther dan keadaan kewangan Manisah.
Xavier memaklumkan Esther sedang menjalani rawatan barah otak dan akan bersara minggu depan, manakala Manisah bergaji RM1,900 sebulan serta sedang menyambung pengajian.
Mahkamah akhirnya membenarkan jaminan RM3,000 setiap tertuduh dengan syarat tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Hakim turut membenarkan permohonan Xavier untuk menggugurkan pertuduhan terdahulu terhadap Esther di mahkamah lain (DNAA) sebelum pertuduhan bersama dibacakan.
Pada 30 Januari lalu, Esther dilapor menghadapi pertuduhan berasingan berkaitan kes ini di mana mangsa didakwa ditinggalkan tanpa pengawasan berhampiran kolam renang The Centro Club di Bandar Baru Sri Klebang.
Mangsa, Thanes Nair dilaporkan meninggal dunia pada 23 April 2023 selepas enam hari dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akibat insiden berkenaan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 April untuk sebutan semula kes.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.