Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] 2 didakwa perdaya RM1.2 juta bagi baik pulih fasiliti sekolah

 

SHAH ALAM: Pengarah urusan syarikat dan pengurus sebuah syarikat konsultasi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memperdayakan lembaga pengelola sekolah menjalankan kerja baik pulih fasiliti bernilai lebih RM1.2 juta tiga tahun lalu.

Bagaimanapun pengarah urusan, Mohd Syafeeq Mohd, 40 dan pengurus, Cheah Seng Nam, 48, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat bersama memperdayakan Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kampung Baru, Kuala Selangor (SJKT LKB) sehingga mendorong Lembaga Pengelola SJKT LKB untuk menyerahkan wang sebanyak RM863,500 kepada mereka antara 4 September 2020 sehingga 7 Disember 2020.

Mohd Syafeeq dan Cheah Seng Nam, 48, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. – FOTO: Ihsan SPRM

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa memperdayakan Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Batu Arang (SJKT BA) untuk menyerahkan wang sebanyak RM381,500 kepada mereka pada 25 Ogos 2020.

Tertuduh memaklumkan kepada Lembaga Pengelola SJKT LKB dan SJKT BA mereka adalah kontraktor yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi Kerja-Kerja Penyelenggaran, Penambahbaikan dan Membaikpulih Fasiliti Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil).

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin dan Mohd Aliff Shaharuzaman sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ridha Abdah Subri.

Pendakwaan menawarkan jaminan RM50,000 untuk setiap kes dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan iaitu tertuduh hendaklah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh untuk setiap kes dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu hadir ke Pejabat SPRM terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Oktober ini tarikh sebutan semula kes.

Loading...
Terkini