TELUK INTAN: Dua beradik yang dituduh membakar dewan awam milik Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan memiliki bahan letupan secara tidak sah, minggu lalu dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di sini, hari ini.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh, JM Jesan, 19, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.
Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bunga api hingga menyebabkan kerosakan Dewan Arena Square milik MPTI, dekat Jalan Raja, di sini pada jam 11.29 malam, 11 November lalu dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda.
Pegawai pendakwa, Inspektor Nur Aina Liyana Mohd Talal menawarkan jaminan RM10,000, namun peguam Faustina Francis yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan jaminan minimum atas alasan anak guamnya itu hilang pekerjaan selepas kejadian berkenaan.
Faustina berkata, tertuduh juga perlu menanggung ibu bapa, selain sudah memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang proses siasatan.
Norhamizah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, JM Steven, 24, pula mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman atas kesalahan memiliki bahan letupan jenis Happy Boom Assorted 138 Shot dan Happy Boom Red Cracker 88 di lokasi sama, pada jam 8.30 malam, 11 November lalu.
Jika disabitkan kesalahan, pemandu lori itu boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pegawai pendakwa, Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad menawarkan jaminan RM8,000, namun Faustina yang turut mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri, seorang anak berusia setahun serta adiknya yang berusia 14 tahun dan masih bersekolah.
Naidatul Athirah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 20 Disember depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.