Tumpuan :
Mahkamah

2 bekas pekerja Prasarana berdepan pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM500,000

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Dua bekas pekerja Prasarana Malaysia Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM500,000.

Masing-masing bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Bekas kerani syarikat itu, Mohd Hafiz Azizi, 39 tahun, berdepan sembilan pertuduhan memperoleh wang hasil daripada aktiviti haram, berjumlah RM565,359 menerusi akaun bank milik syarikatnya.

Perbuatan didakwa dilakukan antara 17 Januari 2020 hingga 7 Julai 2023.

Manakala Mohammad Shahrul Nizam Azman, bekas pegawai kewangan syarikat itu pula didakwa atas lapan pertuduhan memperoleh, selain tujuh pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM580,916 dan RM233,270.

Perbuatan didakwa dilakukan antara 8 Januari 2020 hingga 7 Julai 2023, dan 18 April 2021 hingga 8 Ogos 2023.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 4(1)(B) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan dibaca bersama perenggan 87(1) Akta 613 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan jaminan masing-masing RM30,000 serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

10 Januari tahun depan ditetapkan sebagai sebutan kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini