Tumpuan :
Mahkamah

2 anggota tentera didakwa rogol budak 10 tahun

KOTA BHARU: Dua anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak berusia 10 tahun di sebuah rumah di Bachok sekitar April tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mahadi Ismail, 39, dan Aizat Hakim Mohammad, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, kedua-dua tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 10 tahun lapan bulan di Bachok pada waktu siang sekitar April tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Majidah Muhamad dan Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan mangsa seorang kanak-kanak dan baru berusia 10 tahun.

Mohd Firdaus menerusi rayuannya memohon jaminan diberikan memandangkan anak guamnya yang juga penjawat awam memberi kerjasama baik kepada pihak polis selain menyerah diri di Balai Polis Bachok sebelum ini.

“Seorang anak guam saya sudah hampir bersara wajib tahun depan selain perlu menanggung empat anak masih bersekolah, manakala seorang lagi anak guam saya baru tamat latihan dan akan melapor diri di tempat kerja esok,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM10,000 setiap tertuduh dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan selain tidak dibenarkan mengganggu saksi.

Mahkamah juga menetapkan 2 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini