Tumpuan :
Mahkamah

2 anggota polis didakwa mendatangkan kecederaan pada polis bantuan dan orang awam

KOTA KINABALU: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua individu termasuk seorang anggota Polis Bantuan dalam kejadian berasingan di sini pada Oktober dan Januari lalu.

Lans Koperal Rizal Lee Abdullah, 34, dan Sarjan Fredy Anak Francis, 32, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Rizal yang bertugas di Cawangan Pengangkutan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap Jumaidi Juna, 45, anggota Polis Bantuan di parkir kakitangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), 6 Oktober lalu.

Fredy pula yang bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat jenayah di IPD Papar, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap Sarah Hafizah Lok Siew Kee, 22, di hadapan KUTA Bar, Waterfront, di sini, 23 Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Jessica Ombou Kakayun menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes Rizal dan 3 Ogos bagi sebutan semula kes Fredy, selain membenarkan Rizal dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500, manakala ikat jamin Fredy ditetapkan RM1,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bryan Francis, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Loading...
Terkini