Tumpuan :
Mahkamah

2 along dipenjara 9 tahun, mengaku bakar rumah, kereta peminjam

Zaza Putra (dua dari kiri) dan Nur Azman ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini.-Foto: NSTP

MUAR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan denda RM12,000 terhadap dua along yang mengaku membakar rumah serta kereta milik peminjam wang dipercayai gagal melunaskan pinjaman.

Zaza Putra Roslan, 32, dan Nur Azman Hassan Ashari, 37, mengaku bersalah terhadap dua dakwaan melakukan jenayah itu di Tangkak, dekat sini pada Mac lalu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama yang lain melakukan khianat membakar kereta milik seorang wanita berusia 43 tahun di Jalan Wawasan 2/1, Taman Wawasan 2, Tangkak, pada jam 3.30 pagi, 28 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka bersama yang lain melakukan khianat membakar rumah seorang lelaki berusia 39 tahun, di Jalan Wawasan 1, Taman Wawasan, jam 4.30 pagi pada tarikh sama.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh diminta mengutip hutang daripada kedua-dua mangsa yang belum melunaskan pinjaman.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali gagal menuntut hutang, tertuduh bersama beberapa yang lain bertindak membakar rumah dan kereta mangsa.

Dua laporan polis dibuat kedua-dua mangsa di Balai Polis Tangkak dan tertuduh berjaya ditahan beberapa hari kemudian.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Arif Marzuki, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar hujahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM10,000 bagi pertuduhan pertama serta tiga tahun penjara dan denda RM2,000 untuk pertuduhan kedua.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal melunaskan semua denda dikenakan terhadap mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini