comscore
Tumpuan :
Mahkamah

2 ahli perniagaan dituduh tipu PERKESO

Foto hiasan

SHAH ALAM: Dua ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada PERKESO bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 berjumlah RM756,980.

Bagaimanapun, Muhammad Asyraf Omar, 31 dan Muhammad Aliff Abdul Rashid, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Muhammad Asyraf berdepan satu pertuduhan memberi Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat Bmine Enterprise bertarikh 20 Mei 2021, melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif berjumlah RM42,800.

Muhammad Aliff pula didakwa atas enam pertuduhan melakukan kesalahan sama atas nama Perusahaan RR Sinergi Enterprise bertarikh 20, 21 Mei dan 4 September 2021, kepada beberapa pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif berjumlah RM714,180.

Kedua-dua tertuduh berniat memperdayakan PERKESO dengan dokumen itu yang mengandungi pernyataan palsu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan bukan daripada syarikat berkenaan.

Muhammad Asyraf melakukan kesalahan itu di Wisma PERKESO Petaling Jaya, pada 22 Mac 2021, manakala Muhammad Aliff di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Rawang, pada 12 Jun dan 14 September 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin, memohon jaminan RM10,000 dan RM50,000 masing-masing terhadap Muhammad Asyraf serta Muhammad Aliff.

“Mohon seorang penjamin untuk setiap tertuduh serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan hingga kes selesai,” katanya.

Muhammad Asyraf yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan rendah atas alasan penanggung utama keluarga, manakala peguam bela Muhammad Aliff, Ahmad Naqib Azhar, membuat permohonan sama kerana anak guam memberi kerjasama baik kepada SPRM.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dan RM50,000 dengan seorang penjamin masing-masing terhadap Muhammad Asyraf serta Muhammad Aliff, serta syarat tambahan seperti diminta pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 13 dan 27 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Loading...
Terkini