MUAR: Dua lelaki yang juga ‘ah long’ mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api hingga merosakkan tiga rumah peminjam di Tangkak, dua minggu lalu.
Tertuduh, Li Ao Chen, 30 dan Goh Poh Liang, 38, masing-masing mengaku bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khianat dengan api terhadap tiga rumah mangsa berusia 41, 55, dan 52 tahun di tiga lokasi berasingan iaitu di Taman Tangkak Jaya 4, Taman Tangkak Jaya dan Taman Tiara 2 dengan ketiga-tiga kejadian berlaku jam 6.07 pagi, 14 September lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membabitkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Arif Marzuki, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 3 Oktober ini untuk tarikh hukuman terhadap dua tertuduh.
Selasa lalu, dua tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak bersama tujuh lagi yang ditahan susulan kejadian sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan didenda RM1,500 setiap seorang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.