JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 25 Februari untuk keputusan permohonan penangguhan hukuman penjara terhadap seorang peniaga, Rosmaini Abd Raof, 43, yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya hingga koma.
Keputusan dibuat Hakim Abu Bakar Katar selepas mendengar hujah daripada pihak Pendakwa Raya dan peguam bela tertuduh.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan Siti Fatimah Yahya berhujah, kes itu bukan istimewa, namun mendapat liputan meluas daripada media sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Kejadian tersebut turut mencetuskan kebimbangan apabila mangsa melahirkan bayinya dalam keadaan koma.
Peguam tertuduh, Kamal Hisham pula berhujah terdapat persoalan undang-undang yang rumit, iaitu percanggahan antara akuan bersumpah dan laporan polis yang dibuat oleh saksi pendakwaan dan isu itu perlu diputuskan oleh mahkamah.
Pada 9 Disember tahun lalu, Rosmaini dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah Nordin @ Sylvester, sehingga mangsa koma empat tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Fatimah Zahari pada akhir pembelaan kes berkenaan, yang berlangsung selama tiga tahun dan melibatkan 11 saksi pendakwaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.