TAWAU: Tiga belas remaja didakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional Lahad Datu, Mac lalu.
Dalam prosiding hari ini, kesemua tertuduh menjawab faham terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Berikutan pengakuan itu, mahkamah menetapkan 10 hari tempoh perbicaraan dengan tarikh perbicaraan masing-masing bermula 18 hingga 20 November dan 25 hingga 29 November depan.
Pihak pendakwaan dijangka memanggil seramai 10 hingga 12 orang saksi untuk memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan itu.
Sementara itu, kesemua tertuduh akan ditahan reman di Jabatan Penjara Tawau bermula hari ini sementara menunggu tarikh perbicaraan.
Terdahulu, kesemua tertuduh yang lengkap berpakaian serba putih tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.24 pagi dengan kenderaan polis.
Mereka yang berusia 16 hingga 19 tahun dituduh bersama-sama membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada kira-kira jam 9 malam 21 Mac hingga 7.35 pagi 22 Mac lalu.
Pada 2 April lalu, 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan secara bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 24 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suryana bersama Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain.
Sembilan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh, Amirul Amin Rashid dan Chen Wen Jye, manakala seorang remaja diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan tiga lagi tidak diwakili peguam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.