comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Zelenskyy ancam boikot mesyuarat pertama Majlis NATO-Ukraine – Laporan

FOTO: Reuters

MOSCOW: Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengancam tidak akan hadir pada mesyuarat pertama Majlis NATO-Ukraine yang baru ditubuhkan kerana kecewa dengan pendirian perikatan itu mengenai prospek keanggotaan Ukraine pada sidang kemuncak Vilnius, lapor Sputnik memetik The New York Times.

Zelenskyy “marah” dengan NATO apabila menetapkan syarat berhubung jemputan untuk Ukraine memohon keanggotaan dan mengkritik kenyataan rasmi yang diterima pakai pada sidang kemuncak dua hari di ibu negara Lithuania itu, yang “mencetuskan kemarahan” rakyat Amerika, lapor akhbar itu pada Rabu.

Pada Selasa malam, presiden Ukraine dilaporkan mengancam untuk tidak mengambil bahagian dalam sesi pertama Majlis NATO-Ukraine, yang berlangsung keesokan harinya.

Beliau berkata “belum pernah berlaku dan tidak masuk akal” apabila tempoh masa ditetapkan bukannya jemputan mahupun untuk keanggotaan Ukraine.

Bloomberg memetik sumber melaporkan, pemimpin NATO telah menggesa presiden Ukraine agar “bertenang” semasa makan malam bersama mereka di Vilnius berikutan kritikannya.

Mesyuarat pertama Majlis NATO-Ukraine berlangsung di luar sidang kemuncak NATO di Vilnius pada Rabu.

Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg mempengerusikan mesyuarat itu dengan presiden Ukraine dan pegawai tinggi Ukraine yang lain turut serta.

Stoltenberg pada Selasa berkata pemimpin NATO telah bersetuju dengan pakej tiga elemen untuk membawa Ukraine lebih dekat dengan perikatan itu.

Elemen pertama termasuk mewujudkan program bantuan untuk Ukraine yang akan membawa peralihan kepada kemungkinan latihan dan doktrin standard NATO.

Elemen kedua ialah penubuhan Majlis NATO-Ukraine dan yang ketiga melibatkan pembatalan pelan tindakan keanggotaan untuk Ukraine, yang akan memendekkan proses penyertaan Kyiv dan pada masa sama, tiada jemputan rasmi oleh blok itu kepada Kyiv. – BERNAMA-SPUTNIK

Loading...
Terkini