Tumpuan :
Luar Negara

WHO bimbang, jangkitan kalis antibiotik kepada manusia semakin meningkat

FOTO: AGENSI

GENEVA: Laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mendedahkan, tahap kalis antibiotik yang tinggi dalam bakteria boleh menyebabkan jangkitan saluran darah yang mengancam nyawa.

Buat pertama kalinya, laporan Sistem Pemantauan Penggunaan dan Tahap Kalis Antimikrob Global (GLASS) menyediakan analisis kadar kalis antimikrob (AMR) dalam konteks liputan ujian nasional.

Ia turut merangkumi trend AMR sejak 2017 dan data mengenai penggunaan antimikrob terhadap manusia membabitkan 27 negara.

Laporan itu menunjukkan kekerapan tahap kalis melebihi 50 peratus dalam bakteria, menyebabkan jangkitan aliran darah dan memerlukan antiobiotik sebagai penyelesaian terakhir dalam rawatan.

Sementara itu, jangkitan bakteria biasa menunjukkan tahap kalis antibiotik yang semakin tinggi terhadap rawatan.

Lebih 60 peratus daripada penyakit gonorea iaitu salah satu penyakit kelamin disebabkan bakteria neisseria gonorrhoeae, menunjukkan ketahanan terhadap antibakteria oral yang biasa digunakan, ciprofloxacin.

WHO berkata, lebih banyak kajian diperlukan untuk mengenal pasti sama ada ia mempunyai hubung kait dengan peningkatan kemasukan ke hospital dan rawatan antibiotik ketika pandemik COVID-19.

Selain itu, negara yang mempunyai kadar ujian lebih rendah, kebanyakannya negara berpendapatan rendah dan sederhana, berkemungkinan melaporkan kadar AMR yang jauh lebih tinggi. – AGENSI

Loading...
Terkini