![](https://media.buletintv3.my/2023/12/SbvbtqNE-BTV3-WORK-3.jpg)
NEW DELHI: Seorang wanita India mencatat rekod dunia apabila memiliki rambut mencecah lebih dua meter.
Smita Srivastava, 46, dilaporkan tidak pernah menggunting rambut sejak berusia 14 tahun
United Press International (UPI) melaporkan Smita diiktiraf Guinness World Records (GWR) sebagai individu memiliki rambut terpanjang pada orang yang masih hidup.
Smita berkata, dia mendapat ilham untuk menyimpan rambut panjang selepas melihat pelakon Hindi pada tahun 1980-an.
“Dalam budaya India juga, dewi secara tradisinya mempunyai rambut yang sangat panjang. Dalam masyarakat kita, ia dianggap tidak menguntungkan untuk memotong rambut.
“Jadi itulah sebabnya ramai wanita India membiarkan sahaja rambutnya tumbuh panjang. Lagipun berambut panjang menaikkan lagi aura kecantikan wanita,” katanya kepada GWR.
Tambahnya dia tidak berhasrat untuk memotong rambutnya dalam masa terdekat.
“Saya akan menjaga rambut selagi boleh. Saya tidak akan memotongnya kerana nyawa saya terletak pada rambut saya.
“Saya mahu rambut tumbuh lebih panjang dan lihat berapa lama saya boleh menguruskannya,” katanya.-AGENSI