KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron, 37 melahirkan kebimbangannya susulan bekalan keperluan rakyat Palestin semakin berkurangan.
Nurul Ain yang kini sudah lebih sebulan di Khan Yunis, dan 29 hari menempuh detik cemas apabila kawasan penempatan sekitar keluarga mentuanya dibom setiap hari namun beliau masih cekal membantu warga Palestin yang lain.
“Saya sentiasa mengingatkan diri, saya baharu sebulan di sini, mereka berada di sini seumur hidup, tak dapat saya gambarkan perasaan itu,” katanya.
Nurul Ain berkata hampir mustahil untuk penduduk setempat mendapatkan bekalan air bersih.
“Bagi yang berkemampuan, seperti saya di sini boleh membayar lori tangki untuk membuat penghantaran ke rumah untuk disimpan dalam tangki,” jelasnya.
Bagaimanapun, Nurul Ain berkata kualiti air yang diterima tidak menentu dan tidak sesuai untuk minuman.
“Air yang dihantar itu diambil dari laut dan ditapis.
“Kadang-kadang rasa payau adakalanya masin. Memang tidak dapat digunakan untuk minum, kami akan mencari sumber lain untuk masak dan minum,” katanya.
Walaupun begitu, kata Nurul Ain situasi beliau sekeluarga jauh lebih baik daripada jiran tetangga yang langsung tiada sumber kewangan atau sumber air.
@adan2021 They said “We got no house now, alhamdulillah we have tuktuk” My child, may soon Allah give us a good news InsyaAllah Amin Ya Rabbal Alamin… bantuan masih diteruskan, sesuatu yang amat menggusarkan saya dan suami, bekalan makin berkurangan banyak yg tak ada stock. Ya Allah tiada yg lain selain dari Mu. May Allah ease everything for us, amin ya rabbal alamin… InsyaAllah everything will be okay soon, InsyaAllah… #gazaunderattack❤️🇵🇸 #palestine #savegaza #malaysia #fyp ♬ suara asli – karpan
Malahan mereka terpaksa mencari kaedah lain seperti beratur selama tujuh jam di kem pelarian, pusat bantuan atau mengharapkan ehsan masyarakat setempat.
Nurul Ain berkata suaminya Mohamed Adan Shaat, 33, kini mendapat lanjutan cuti daripada majikan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun tidak pasti berapa lama dan sama ada mereka perlu mencari pekerjaan lain jika berjaya diselamatkan dari Gaza.
Sementara masih di Gaza, Nurul Ain meneruskan usaha mengagihkan bantuan bekalan makanan dan selimut kepada penduduk sekitar.
“Saya menumpukan kepada mereka yang tiada tempat tinggal, yang menumpang di premis perniagaan yang ditutup atau tidur seperti gelandangan di luar.
“Bantuan diberikan supaya dapat meringankan beban mereka dan mereka dapat meneruskan perjalanan ke tempat lebih selamat seperti rumah saudara mara atau rakan,” katanya.
Nurul Ain menerima bantuan dana daripada rakyat Malaysia yang digunakan untuk membeli barangan keperluan dari pemborong sebelum diagihkan.
Sehingga kini beliau berkata jumlah bakul bantuan yang diagihkan mencecah hampir 800 set.