GAZA: Lebih separuh daripada penduduk di Gaza, Palestin terpaksa makan apa sahaja termasuk rumput, buah-buahan, makanan mentah dan sudah tamat tarikh luput bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Ia menunjukkan bahawa krisis kebuluran rakyat negara itu semakin meruncing.
Perkara itu didedahkan dalam Kajian Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean dengan menyimpulkan terdapat seramai 71 peratus penduduk wilayah itu mengalami tahap kelaparan teruk serta 98 peratus lagi kekurangan pengambilan makanan mencukupi justeru mereka makan apa yang mampu ditemui sahaja.
Fakta itu berasas kepada beberapa perkongsian tular yang menunjukkan penduduk Gaza terutama anak kecil terpaksa berebut mendapatkan makanan untuk mengisi perut mereka dalam perang kebuluran memasuki hari ke-75.
Menceritakan situasi di Gaza, Ahmed Mohammed Al-Khalidi berkata, setiap hari kanak-kanak hanya menjamah ala kadar bagi mengalas perut berikutan berdepan kesukaran mendapatkan sumber bekalan.
“Kami makan apa yang dapat dijumpai sahaja macam suku atau separuh roti dimakan untuk seharian.
“Apabila kami minta makan dengan ibu, dia menyuruh saya diam kerana tiada makanan di rumah kami, biasanya kami akan tidur dalam keadaan lapar,” katanya.
Sementara itu, aktivis Mer-C Indonesia yang berada di Gaza, Fikri Rofiul Haq berkata, bantuan kemanusiaan hanya masuk dari Mesir setakat ini kerana kebanyakan sumbangan negara lain masih terkandas di luar sempadan Rafah-Mesir.
“Bantuan dari negara lain seperti Turkiye dan Indonesia masih terkandas di sempadan,” katanya menerusi perkongsian di Instagram, malam kelmarin.