comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Tentera Zionis tahan, dera rakyat Palestin berlindung di sekolah UNRWA

Tentera Israel menahan rakyat Palestin di utara Gaza. – Foto AGENSI

GENEVA: Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med mendedahkan tentera pengganas Israel menahan dan mendera puluhan rakyat Palestin di utara Gaza.

Mangsa dipaksa mengelilingi dua pusat perlindungan di bandar Beit Lahia selama beberapa hari sebelum dibelasah dan dibogelkan.

Laporan diterima Euro-Med Monitor mendedahkan tentera Israel menahan secara rawak penduduk yang dipindahkan di sekolah Khalifa Bin Zayed dan New Aleppo termasuk doktor, ahli akademik, wartawan dan lelaki tua.

Kedua-dua sekolah itu bekerjasama dengan Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNRWA).

Kakak wartawan Diaa Al-Kahlot memberitahu Euro-Med Monitor, anggota tentera Israel memaksa adik lelakinya meninggalkan anak yang cacat berusia tujuh tahun bernama Nada, seorang diri.

Dia kemudiannya ditahan dan seperti semua tahanan lain, dilucutkan pakaian selepas dipukul dengan teruk.

Muhammad Al-Kahlot pula  berkata, tentera Israel  membakar beberapa rumah di kawasan Beit Lahia dan menahan secara rambang penduduk.

Euro-Med Monitor mendokumentasikan insiden tembakan dan pembunuhan yang dilakukan tentera Israel terhadap mereka yang dipindahkan di dua sekolah berkenaan.

Organisasi hak asasi manusia  berpangkalan di Geneva memberitahu anggota tentera Israel menyasarkan setiap orang yang cuba melarikan diri, meskipun mereka sudah mengangkat bendera putih.

Sementara itu, seorang pemuda, Mohammed Al-Rai berkata, dia melihat sekurang-kurangnya tujuh pemuda lain ditembak dan dibunuh oleh tentera Israel dalam insiden berasingan  kerana mereka enggan membuka pakaian dan mematuhi arahan tentera yang memalukan.

Euro-Med Monitor menggesa siasatan segera dibuka ke atas pencabulan hak asasi oleh tentera Israel terhadap orang awam dan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memikul tanggungjawabnya untuk melindungi rakyat Palestin yang tiada penempatan dan memastikan keselamatan mereka. – AGENSI

Loading...
Terkini