BEIRUT: Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO memberi amaran penularan taun merebak ‘dengan pantas’ di seluruh Lubnan, diburukkan lagi dengan krisis ekonomi dan infrastruktur yang musnah.
Penularan wabak itu bermula awal bulan ini, selepas jangkitannya merebak dari Syria.
Ia susulan kerosakan hampir dua pertiga loji rawatan air, sebahagian stesen pam dan satu pertiga menara air, akibat peperangan.
Wakil WHO di Lubnan, Abdi Nasir Abu Bakar berkata lebih 1,400 kes disyaki, termasuk 381 kes disahkan dan 17 kematian sejak 5 Oktober lalu.
WHO mendapatkan 600 ribu dos vaksin, selain berusaha mendapatkan lebih banyak lagi vaksin susulan penularan yang pantas.
Sungai Euphrates yang dicemari kumbahan dipercayai menjadi punca utama penularan taun di Syria sejak 2009.
Pada peringkat global, taun menjangkiti antara 1.3 juta hingga empat juta orang setiap tahun, membunuh antara 21 ribu hingga 143 ribu mangsa.