SANAA, Yemen: Hujan lebat berterusan di Sana’a, ibu kota Yemen sejak beberapa hari lalu mengakibatkan beberapa infrastruktur utama musnah.
Menurut media tempatan, antara yang ranap adalah beberapa bangunan bersejarah di kawasan kota lama Sana’a yang menjadi tapak warisan UNESCO.
Dalam rakaman video oleh The Associated Press menunjukkan selain bangunan bersejarah terbabit, turut mengalami kerosakan teruk adalah beberapa kediaman penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
Penduduk di lokasi berkenaan juga mendakwa banjir sejak awal bulan lalu tidak menunjukkan tanda-tanda surut dan mereka berdepan masalah mendapatkan bekalan makanan harian.
Kota lama Sana’a tersenarai selaku tapak warisan dunia UNESCO sejak tahun 1986.
Namun, status kawasan berkenaan diletakkan di dalam senarai tapak warisan dalam bahaya sejak kebelakangan ini oleh Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO ekoran konflik peperangan yang berlaku di negara itu.