Tumpuan :
Luar Negara

Suhu sejuk melampau bakal cetus bencana besar di Amerika Utara – Pakar

Foto: Agensi

WASHINGTON: Pakar memberi amaran, suhu sejuk yang semakin menjunam di bawah paras beku bakal mencetus bencana besar di seluruh Amerika Syarikat (AS) dan Kanada kerana boleh menyebabkan radang dingin (frostbite) pada kulit yang terdedah dalam masa lima hingga 10 minit sahaja.

Ribut musim sejuk Artik yang kuat menjejaskan lebih 135 juta penduduk berikutan amaran cuaca buruk menjelang hujung minggu paling sibuk tahun ini melibatkan kawasan pantai ke selatan merentasi sempadan AS dan Mexico serta Florida.

Musim sejuk ini mencetus Krismas paling ‘beku’ dalam tempoh beberapa dekad dengan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) meramal suhu beku -45 darjah Celsius bakal melanda beberapa kawasan minggu ini.

Mereka yang tinggal di kawasan bandar utama seperti Des Moines dan Iowa diingatkan untuk memakai pakaian tebal bagi mengelakkan radang dingin yang boleh menjadi ancaman besar kepada penduduk.

Jisim udara Artik dijangka membawa tiupan angin kencang dan boleh bertukar menjadi bom siklon dengan suhu -9.4 darjah Celsius ke El Paso, Texas, di mana ramai pendatang tanpa izin yang baru tiba tidur di tepi jalan dan kawasan kaki lima.

Gabenor New York, Kathy Hochul, dalam pada itu mengisytiharkan darurat ekoran kebimbangan ancaman banjir serta kesesakan akibat pengumpulan bongkah ais tebal yang boleh menghalang aliran sungai dan mendatangkan pelbagai bahaya kepada komuniti.

Gabenor Kentucky, Carolina Utara, Virginia Barat, Georgia dan Oklahoma turut mengisytiharkan darurat manakala Wisconsin mengisytiharkan kecemasan tenaga. – AGENSI

Loading...
Terkini