KABUL: Musim sejuk terburuk melanda Afghanistan dalam tempoh lebih sedekad sehingga kini meragut 162 nyawa.
Rakyat Afghanistan menyifatkan mereka tidak mampu untuk membeli bahan api untuk memanaskan rumah ketika suhu di bawah paras beku.
Menteri Pengurusan Bencana Afghanistan, Shafiullah Rahimi berkata, 162 orang maut sejak 10 Januari hingga sekarang dan kira-kira 84 kematian berlaku minggu lalu.
Musim sejuk kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh 15 tahun apabila suhu menyusut sehingga serendah -34 darjah Celsius.
Ini ditambah dengan Afghanistan dilanda krisis ekonomi yang teruk.
Kebanyakan kumpulan bantuan telah menggantung sebahagian operasi beberapa minggu kebelakangan ini kerana pentadbiran Taliban memutuskan pekerja NGO wanita tidak dibenarkan bekerja yang menyebabkan agensi tidak dapat mengendalikan banyak program di negara Asia Selatan itu.
Di padang bersalji di barat ibu kota Afghanistan, kanak-kanak menyelongkar sampah mencari plastik untuk dibakar bagi membantu keluarga mereka yang tidak mampu membeli kayu atau arang batu.
Semasa lawatan ke Kabul minggu ini, Ketua Bantuan PBB, Martin Griffiths berkata, badan dunia itu memohon pengecualian larangan ke atas kebanyakan pekerja bantuan wanita untuk menghadapi musim sejuk.