NEW DELHI: Jerebu tebal menyelubungi ibu kota New Delhi hari ini ketika tahap pencemaran udara dilapor bertambah buruk dengan kategori “sangat teruk” selepas beberapa hari cuaca cerah, berikutan suhu yang lebih rendah serta tiupan angin yang lebih perlahan memerangkap bahan pencemar.
Penduduk mendakwa, mulut mereka terasa pahit jika menanggalkan pelitup muka.
Malah mata juga mengalami kerengsaan jika berada lama di luar, selain ada yang mengadu turut sukar bernafas.
Pencemaran di ibu kota di India menyebabkan penyakit seperti asma dan masalah pernafasan lain dilapor berlaku setiap kali musim sejuk berikutan pelepasan asap kenderaan, habuk daripada industri pembinaan serta pembakaran terbuka ladang pertanian.
Kualiti udara di bandar berpenduduk 20 juta itu adalah “sangat teruk” secara keseluruhan dan merosot kepada “teruk” di beberapa kawasan, menurut data dari Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat.
Indeks kualiti udara mencecah 457 di lokaliti Anand Vihar – sembilan kali lebih rendah daripada paras “baik”.
Jabatan Kualiti Udara dan Ramalan Cuaca mengesahkan kemerosotan kualiti udara berpunca daripada penurunan suhu serta kelajuan angin yang berkurangan. – REUTERS