BEIJING: Satu serpihan daripada penggalak roket Long March 5B milik China yang dianggarkan seberat 21 tan atau sebesar bangunan 10 tingkat dijangka memasuki atmosfera bumi esok.
Namun, kumpulan pakar sehingga kini tidak dapat meramal di manakah serpihan itu akan jatuh.
Perkara tersebut mencetuskan kebimbangan sekiranya ia menimpa kawasan berpenghuni.
Keadaan itu menyebabkan para saintis kini bertungkus-lumus membuat perangkaan lokasi jatuhnya serpihan berkenaan sebelum ia memasuki atmosfera bumi.
Penggalak roket tersebut yang dilancarkan pada 31 Oktober lalu membawa modul ketiga dan terakhir Stesen Angkasa Lepas Tiangong.
Kali terakhir serpihan roket berkenaan jatuh ke bumi adalah pada Julai lalu dan China juga mengambil pendekatan berdiam diri berhubung hal tersebut.
Difahamkan pakar hanya boleh menjangkakan lokasi pendaratan selepas serpihan itu memasuki atmosfera bumi.
Biarpun bandar-bandar utama dijangka selamat daripada serpihan roket yang bakal jatuh, namun sebanyak 88 peratus penghuni bumi berdepan dengan risiko tersebut.
Penggalak roket yang membawa modul bernama Mengtian itu berlepas ke angkasa lepas dari Pusat Pelancaran Satelit Wenchang di selatan wilayah Hainan pada tengah hari Isnin lalu.
Mengtian akan disambung dengan modul Wentian dan Tianhe bagi melengkapkan stesen Tiangong. – AGENSI