Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan terbaharu rejim Zionis ke atas sebuah hospital di Gaza yang membunuh lebih 500 nyawa menunjukkan Israel sudah semakin ‘gila’ dan hilang perikemanusiaan.
Beliau menegaskan, serangan itu sangat keterlaluan dan kesal dengan negara barat yang sibuk bercakap mengenai hak kemanusiaan.
“Apapun, siapapun dituduh, maknanya ini kesan dari serangan dan perang, sebab itu kita kata sebaiknya hentikan. Beri masa untuk kita redakan keadaan dan hentikan. Kalau teruskan (perang) ini, mangsanya adalah wanita, anak-anak, pesakit, ini dah sampai ke tahap ‘gila’ dan hilang perikemanusiaan,” katanya.
Beliau ditemui pada Simposium ‘The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia’ anjuran Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Universiti Malaysa (UM), di sini hari ini.
Terdahulu, lebih 500 rakyat Palestin maut dan ratusan lagi cedera dalam serangan udara Israel semalam yang menyasarkan Hospital al-Ahli yang menjadi tempat berteduh ribuan penduduk Palestin setelah dipaksa meninggalkan rumah mereka di utara Semenanjung Gaza.
Serangan maut itu turut dikecam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menuntut perlindungan segera kepada orang awam dan penjagaan kesihatan di Palestin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud bagi berbincang konflik di Gaza, selepas menghadiri Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) di Riyadh.
Sekiranya terdapat keperluan, beliau juga akan melakukan jelajah ke beberapa negara atau melalui panggilan telefon bersama beberapa pemimpin untuk membincangkan isu itu.
“Yang paling dikesalkan, negara barat yang bercakap soal hak kemanusiaan, ini rupanya ada kategori. Ada manusia kelas satu, ada manusia kelas hamba. Ini yang kita bantah sekeras-kerasnya,” katanya.
Ditanya mengenai status pasukan pengaman negara di bawah operasi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) susulan kawasan di Selatan Lubnan turut menjadi serangan pihak Israel, Anwar berkata, keputusan mengekalkan pasukan terbabit dibuat bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Jika keadaan keselamatan dapat terjamin, kita teruskan dan jika tidak, kita akan bawa pulang,” ujarnya.