Tumpuan :
Luar Negara

Separuh Akhir Piala Dunia: Polis Perancis gerakkan 10,000 anggota persediaan kemungkinan rusuhan

FOTO: AGENSI

PARIS: Bimbang kemungkinan rusuhan selepas perlawanan separuh akhir Piala Dunia antara Perancis dan Maghribi di Qatar pada Rabu, Perancis merancang menggerakkan 10,000 pegawai polis termasuk 5,000 khusus ditempatkan di Paris dan di kawasan sekitarnya, lapor Agensi Anadolu.

Di Paris, polis akan ditempatkan di sekitar boulevard Champs-Elysees seperti yang diumumkan Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin.

Paris sebelum ini menyaksikan insiden ganas pada 10 Dis selepas kemenangan Maghribi dan Perancis di peringkat suku akhir.

Champs-Elysees bagaimanapun tidak ditutup pada Rabu.

Kebanyakan jalan masuk ke Paris akan ditutup mulai 6.30 petang termasuk beberapa stesen metro dan RER.

Ancaman lain adalah daripada samseng berhaluan kanan yang radikal seperti dilaporkan stesen radio Europe 1.

Menurut Europe 1, di bandar Strasbourg, beberapa dozen ahli “Pesalah Strasbourg,” kumpulan samseng yang terdiri daripada neo-Nazi, Identitarian dan ultra-nasionalis, dikatakan telah merancang untuk berkumpul di jalan-jalan di pusat bandar selepas perlawanan itu.

Perlawanan itu dilihat oleh beberapa pihak sebagai pertembungan antara Kolonialis Perancis dan bekas jajahannya di Afrika Utara. – BERNAMA

Loading...
Terkini