LONDON: Dalam 11 hari serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza, lebih 1,000 kanak-kanak dilaporkan terbunuh, purata seorang kanak-kanak terkorban setiap 15 minit menjadikan golongan itu satu pertiga daripada jumlah kematian.
Sehubungan itu, Save the Children menuntut gencatan senjata segera di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin memburuk.
Memetik laporan Anadolu, badan amal yang berpangkalan di United Kingdom itu memberi amaran jumlah kematian bakal meningkat apabila kehabisan air bersih.
Mengenai “keadaan kemanusiaan yang sudah teruk” di Gaza yang berada di bawah “pengepungan menyeluruh,” Save the Children maklum berhubung amaran oleh Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB (UNRWA) untuk penduduk Palestin mengenai air bersih.
“Orang ramai terutamanya anak kecil tidak lama lagi akan mula mati akibat dehidrasi,” kata UNRWA.
“Air semakin kehabisan dan masa semakin suntuk untuk kanak-kanak Gaza,” kata Jason Lee, Pengarah Save the Children bagi Palestin.
“Tanpa penghujung pertempuran, tanpa gencatan senjata, beribu-ribu nyawa kanak-kanak terancam.”
Mengenai laporan kerajaan Israel menyambung semula bekalan air ke selatan Gaza sejak Ahad lalu, NGO itu berkata, pam air tidak berfungsi selama empat hari tanpa bekalan elektrik di Semenanjung Gaza.
“Pagi ini, PBB memberi amaran bahawa semua hospital di Gaza dipercayai hanya mempunyai kira-kira 48 jam bahan api yang tinggal untuk mengendalikan penjana sandaran, meletakkan beribu-ribu pesakit, termasuk kanak-kanak, pada risiko serta-merta,” katanya.
Pengeboman dan sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza berterusan 11 hari selepas konflik dengan pejuang Hamas, dengan lebih satu juta orang kehilangan tempat tinggal, hampir separuh daripadanya penduduk Gaza, menurut UNRWA.
Pertempuran bermula 7 Oktober apabila Hamas memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa, serangan mengejut pelbagai serampang yang termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.
Ia berkata pencerobohan itu, sebagai membalas dendam terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh peneroka Israel.
Tentera Israel kemudian melancarkan serangan balas terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.
Lebih 4,400 orang terbunuh dalam konflik bersenjata itu, termasuk sekurang-kurangnya 3,001 rakyat Palestin dan lebih 1,400 warga Israel. – AGENSI