GAZA: Pengurus Besar MyCARE yang berasal dari Gaza, Dr Ziad M.M. Shehada memaklumkan situasi di Gaza ketika ini adalah sangat genting.
Dalam perkongsiannya kepada MyCARE Selangor, “Ketika ini situasi sangat bahaya, kami mula ucap La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah, kerana kami percaya pada bila-bila masa waktu malam kami menjadi syuhada.”
Ziad yang kini berada dalam kepungan Gaza memberitahu rejim zionis telah memusnahkan bangunan berdekatan dan hampir kesemua kabel elektrik di sepanjang jalan musnah sepenuhnya.
“Kami terputus talian komunikasi, tiada kabel elektrik dan keadaan di sini sangat gelap. Jari saya sendiri pun saya tak dapat lihat. Di rumah saya sekarang pun tingkap-tingkap sudah pecah terutama tingkap dalam bilik anak-anak saya”.
Ziad turut memberitahu lebih 100 penduduk di sekitar kawasan kejiranannya terkorban.
Buat masa ini dia tidak berani untuk keluar kediaman kerana keadaan sangat berisiko dan berbahaya.
“Zionis mensasarkan satu bangunan, tapi impak dari bom tersebut boleh memusnahkan sehingga 12 bangunan sekali gus. Semua rumah dalam zon ini telah musnah”.
Anggota Zionis kelihatan takut sewaktu melakukan serangan darat dan hanya melancarkan serangan melalu udara.
Rentetan itu, mereka mendengar bunyi bom hampir setiap masa dalam tempoh 24 jam.
Dua jalan utama di Gaza, Jalan Salahuddin (timur Gaza) dan Jalan Al Rasyid berdekatan pantai di barat Gaza sudah musnah sepenuhnya dan tidak dapat digunakan.
Masuk 25 hari serangan bertali arus, 12 orang ahli keluarganya sudah terkorban.
“12 orang saudara saya telah meninggal dunia. 5 lelaki, 4 wanita, seorang kanak-kanak dan selebihnya saya masih menunggu berita kerana terlalu ramai yang telah syahid.