
GAZA : Mayat bertimbun di luar hospital, di jalan raya serta taman, di dalam lori peti sejuk dan juga di dalam van ais krim.
Keadaan itu bakal menjadi lebih teruk berikutan angka kematian rakyat Palestin akibat serangan bertalu-talu rejim Zionis di Semenanjung Gaza kini meningkat kepada 11,078 orang.
Kebanyakan tanah perkuburan sama ada sudah penuh atau tidak boleh diakses, memaksa penggali kubur dan saudara-mara membuat pilihan mengebumikan si mati di dalam kubur besar.
Seorang penggali kubur di Gaza, Saadi Al Hasan Al Sulaiman memberitahu dia terpaksa mengebumikan lebih 100 mayat dalam kubur beramai-ramai.
“Dalam ruang kecil enam meter, saya terpaksa mengebumikan 45 mayat,” kata Al Sulaiman, 63, yang menjaga tanah perkuburan Deir al-Balah di tengah Gaza selama beberapa dekad.
“Pada satu ketika, saya mengebumikan 137 mayat sekali gus dalam kubur besar. Saya tidak pernah mengebumikan begitu banyak mayat sepanjang hidup saya,” katanya kepada The National.
Sebelum tanah perkuburan Deir al-Balah mencapai kapasiti penuh, Al Sulaiman berkata, dia mengebumikan ratusan mayat di sana, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.

“Kami mempunyai sekurang-kurangnya 600 syuhada di sini untuk dikebumikan dan kemudian tidak ada ruang lagi, tiada blok, tiada simen. Tiada apa yang tinggal.
“Tiada siapa boleh tahu di mana keluarga mereka dikebumikan. Apa yang boleh saya katakan ialah kita mempunyai kubur besar (mengandungi) mayat yang tidak diketahui identitinya),” katanya.
Al Sulaiman, yang sudah melalui beberapa konflik Israel-Hamas sejak 2006 berkata, dia tidak pernah dapat membayangkan kematian besar seperti yang disaksi sekarang.
“Saya tidak boleh tidur. Saya tidak boleh menutup mata saya selepas semua mayat kanak-kanak yang saya terpaksa kebumikan sekali gus,” katanya.
Pengebumian secara besar-besaran dalam satu liang lahad dibenarkan oleh ulama di Gaza.
Pihak berkuasa tempatan berkata, mereka cenderung “melaksanakan kewajipan kita yang sah dan moral terhadap mangsa yang syuhada untuk mengebumikan mereka”, jadi mereka menyediakan kubur besar di beberapa kawasan.
Penduduk memberitahu The National bahawa mereka juga mengebumikan jenazah di belakang rumah dan di ladang mereka.
“Saya menawarkan tanah saya kepada keluarga yang kehilangan saudara-mara supaya mereka boleh mengebumikan orang tersayang. Mereka tiada tempat lain,” kata seorang penduduk.
Jurucakap kementerian, Ashraf al-Qudra berkata, sejumlah 4,506 korban kekejaman Israel itu adalah kanak-kanak, 3,027 wanita, dan 678 warga emas, manakala 27,490 orang cedera. – AGENSI